Sebahagian pesakit Covid-19 yang hadir bagi menjalani penilaian kesihatan ketika tinjauan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati Shah Alam pada 14 Julai 2021. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

Kerajaan disaran semak semula penempatan pusat nilai Covid-19

SHAH ALAM 29 JULAI: Kerajaan disaran menyemak semula penempatan pusat penilaian Covid-19 (CAC) seluruh negara terutama di Lembah Klang.

Ahli Dewan Negeri Sentosa berkata ia berikutan terdapat CAC di Lembah Klang yang ditempatkan di kawasan yang kurang kondusif.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah

Menurut Dr G Gunaraj penempatan CAC bukan perkara yang perlu dipandang mudah kerana perkara ini melibatkan nyawa pesakit, tenaga kerja barisan hadapan dan kemaslahatan penduduk setempat.

“Apakah kerajaan bangga mengumumkan pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) mega di hotel-hotel mewah dan tempat yang kondusif namun melepaskan batuk di tangga sahaja dalam menempatkan CAC.

“CAC adalah satu pusat sehenti bagi rakyat yang disahkan positif Covid-19 bagi mengklasifikasikan tahap pesakit untuk tindakan selanjutnya oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyarankan kerajaan menggunakan sistem janji temu di CAC seperti yang digunakan di pusat vaksinasi supaya pesakit Covid-19 tidak perlu beratur lama.

Baru-baru ini penduduk Taman Sri Andalas membantah keputusan KKM mewujudkan CAC di Dewan Sukan Taman Sri Andalas yang terlalu hampir dengan lokasi perumahan dan menyuarakan kebimbangan mungkin berlaku peningkatan kes Covid-19.

Namun hasil perbincangan memutuskan operasi CAC di dewan berkenaan dipindahkan ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang.

CAC ditubuhkan KKM pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC). Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :