Selangorkini
Anggota Polis Trafik Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Duta bagi memastikan orang ramai tidak merentas daerah atau negeri ketika tinjauan pada 13 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Orang ramai digesa jangan curi-curi balik kampung

SHAH ALAM, 18 Julai: Kerajaan menasihati orang ramai tidak “curi-curi” pulang ke kampung dan kekal berada di rumah supaya penularan Covid-19 dapat dikekang.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia susulan 4,839 kenderaan diarah berpatah balik kelmarin dipercayai cuba merentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidiladha di kampung.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah berkenaan adalah yang tertinggi dicatatkan semenjak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksana sejak bulan lalu.

“Semalam, polis melaporkan sebanyak 381,952 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

“Kerajaan menasihati orang ramai supaya tidak curi-curi pulang ke kampung dan kekal duduk di rumah supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti orang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri juga memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di lima lokaliti seluruh negara termasuk CLQ Gamuda Garden, Kundang Jaya, Rawang tamat mulai esok.

Katanya, PKPD di CLQ Gamuda Garden yang bermula 30 Jun dan kemudian dilanjutkan pada 14 Julai ditamatkan pada 19 Julai seperti yang dijadualkan.


Pengarang :