Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen pada 26 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN: Hanya 11 kes, tiada alasan tangguh Parlimen minggu depan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajan tidak boleh menjadikan isu jangkitan Covid-19 sebagai alasan menutup atau menangguhkan sidang Parlimen pada Isnin ini.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hanya 11 kes positif dikesan di Parlimen selepas 1,183 individu disaring pada Khamis.

“Kadar positif adalah 0.9 peratus sedangkan nilai ambang yang disaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi menentukan saringan adalah lima peratus.

“Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan bersama itu dibuat Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Majlis juga mengingatkan pegawai Kementerian Kesihatan termasuk Dr Noor Hisham supaya tidak bersekongkol membuat helah bagi membolehkan kerajaan menghentikan sidang Parlimen.

“Kami juga memberi amaran keras kepada perdana menteri agar tidak memperalat agensi kerajaan dan kementerian untuk menutup Parlimen.

“Jika Parlimen ditutup dengan kadar kurang daripada satu peratus, berkemungkinan Parlimen tidak akan bersidang lagi kerana hakikatnya Covid-19 akan terus berada di dalam masyarakat,” menurut kenyataan.

Khamis lalu sidang dewan ditangguhkan empat kali, antara alasannya adalah kes positif Covid-19 dikesan.

Berikutan itu semua yang ada di bangunan terbabit dihalang keluar dan diarah melakukan ujian saringan.


Pengarang :