Pelajar orang kelainan upaya (OKU) Ahmad Zubaidi Helmi, 19, (kanan) yang ditemani ibu Normah Harun, 46, mengikuti sesi PdPR di Kampung Mengabang Lekor pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

PdPR: Ibu bapa perlu positif terima perubahan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Ibu bapa perlu kekal positif dan menerima perubahan terhadap proses pembelajaran sedang dilalui anak-anak akibat pandemik Covid-19, kata Nazia Mustafar.

Pelakon itu berkata beliau tidak menafikan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dijalani secara dalam talian memberi kesan kepada masyarakat kerana mudah berasa tertekan.

“Bagi mengatasi tekanan dihadapi, ibu bapa perlu mencari inisiatif lain dengan mewujudkan aktiviti bermanfaat bersama anak-anak untuk dijadikan terapi minda.

“Semua pihak terkejut dengan perubahan dialami dalam sektor pendidikan tetapi kita perlu terima dan kekal positif,” katanya pada program bual bicara ‘PdPR: Cabaran emosi di sebalik layar’ secara langsung melalui Facebook Media Selangor.

Nazia yang juga seorang usahawan berkata beliau mengamalkan etika pembelajaran terhadap anak-anaknya sepanjang mengikuti PdPR supaya tidak ketinggalan pelajaran.

“Saya perlu tegas dan memaklumkan jika di sekolah ada undang-undang begitu juga di rumah perlu ada etika dan mengikut jadual.

“Pembelajaran di rumah dan sekolah berbeza kerana saya melihat anak-anak hanya memperoleh 45 peratus sahaja daripada PdPR,” katanya.


Pengarang :