Ir Izham Hashim (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dato’ Abdul Ghariff Ramin (dua, kanan) menunjukkan bantuan makanan untuk diagihkan kepada penduduk Pangsapuri Merpati A, Pandan Indah, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 27 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Penghuni Pangsapuri Merpati A dikenakan PKPD dapat bantuan makanan

AMPANG, 27 JULAI: Sebanyak 430 bakul makanan diagihkan kepada penduduk Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai 18 Julai.

Wakil rakyat Pandan Indah berkata bantuan bernilai RM60 setiap satu meliputi beras, gula, tepung, bawang, sayur dan ayam dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kita (pusat khidmat masyarakat dan PKPS) memperuntuk hampir RM30,000 untuk bantuan ini dan berharap ia sedikit sebanyak meringankan beban penduduk yang mungkin tertekan kerana tidak dapat keluar mendapatkan keperluan,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau yang ditemui selepas menyerahkan sumbangan terbabit di sini menambah usaha akan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk membabitkan kawasan PKPD lain.

Pangsapuri Merpati A dikenakan PKPD selama dua minggu sehingga 31 Julai berikutan 51 kes Covid-19 dikesan hasil saringan terhadap 1,400 penduduk.

Kawasan terbabit antara empat lokaliti di Selangor yang dikenakan PKPD sejak 18 Julai selepas mencatatkan peningkatan kes wabak.

Lokasi lain ialah Pangsapuri Damai, mukim Damansara, Jalan Batu Nilam, mukim Klang dan Taman Samudera, mukim Batu.

Pada 25 Julai, PKPD di Pangsapuri Damai ditamatkan selepas semua penduduk selesai menerima vaksin.


Pengarang :