ADN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin melihat rakaman CCTV yang dihubungkan dengan bilik gerakan penguat kuasa di Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Sebanyak 15 CCTV akan dipasang di Bandar Utama, atasi sampah haram

PETALING JAYA, 1 JULAI: Sebanyak RM50,000 diperuntuk untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 15 lokasi panas pembuangan sampah haram sekitar Bandar Utama, kata Ahli Dewan Negeri.

Jamaliah Jamaluddin berkata dana di bawah geran Taman Selamat Untuk Semua (TaSS) bertujuan mencegah sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa sesuka hati terutama di kawasan perumahan.

“Inisiatif ini selaras dengan matlamat kita untuk memastikan keselamatan dan keselesaan masyarakat terjamin sepanjang masa.

“Antara isunya adalah sampah dibuang oleh pemandu lori yang melalui kawasan perumahan selain sikap segelintir masyarakat yang melonggok sampah di lokasi haram,” katanya selepas meninjau CCTV di SS20 di hari ini.

Selain cadangan 15 CCTV itu yang akan dipasang secara berperingkat, Jamaliah turut menyumbang peruntukan peribadi untuk memasang CCTV di SS20 pada 31 Mei lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti 50 kawasan untuk pemasangan papan tanda amaran larangan membuang sampah.

“Kita harap semangat ‘kita jaga kita’ bukan diamalkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melawan Covid-19 sahaja tetapi juga demi keselamatan dan ketenteraman kawasan setempat,” katanya.


Pengarang :