Pekerja kilang Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Taman Keramat, Ampang pada 19 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor rekod pemberian vaksin tertinggi dengan 1.756 juta dos (VIDEO)

SHAH ALAM, 12 JULAI: Selangor mencatat jumlah pemberian vaksin tertinggi iaitu sebanyak 1.756 juta dos setakat 8 Julai lalu menerusi kerjasama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 4.21 juta rakyat telah menyertai program itu dalam tempoh berkenaan dan ia menepati 88.35 peratus sasaran warga dewasa yang layak mendaftar.

“Bagi program Selvax, sebanyak 44,233 dos berjaya dilaksana iaitu 11,393 (25.8 peratus) untuk Selvax Komuniti dan 32,840 (74.2 peratus) bagi Selvax Industri sehingga Sabtu lalu.

“Dengan keupayaan suntikan vaksin iaitu 43,000 dos pada Jun lalu dan berjaya ditingkatkan kepada lebih 89,000 dos sehari pada Julai dalam PICK.

“Ini ditambah dengan kemampuan Selvax memberi lebih 20,000 dos sehari pada waktu ini sebelum mencapai lebih 40,000 dos hingga awal Ogos nanti,” katanya menerusi rakaman video di Facebook.

Amirudin turut menyatakan keupayaan mencapai 135,000 dos sehari pada bulan ini dan 165,000 pada Ogos selain percaya proses pemberian vaksin dapat dipertingkat dengan jumlah lebih banyak.

“Kita berada di landasan yang betul walaupun diserang dengan pertumbuhan kes dan pada masa kini kerajaan memfokus untuk memastikan saringan lebih banyak serta vaksinasi ditingkatkan,” katanya.


Pengarang :