Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa penerima vaksin ketika meninjau lokasi Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Bukit Melawati di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 1 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

1.28 juta individu lengkap dua dos vaksin di Selangor

SHAH ALAM, 2 OGOS: Sebanyak 27 peratus atau 1.28 juta penduduk Selangor lengkap menerima dua dos vaksin setakat hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perkongsian infografik di Facebook memaklumkan sebanyak 69.5 peratus atau 3.3 juta rakyat sudah menerima dos pertama pelalian.

Menurutnya setakat hari ini sejumlah 4.58 juta dos vaksin diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala 207,368 dos telah disuntik melalui program Vaksin Selangor (Selvax).

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :