Aksi penerjun negara Nur Dhabitah Sabri ketika membuat terjunan yang sempurna dalam acara 3 meter papan anjal wanita individu peringkat akhir pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo pada 1 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Dhabitah sedia beri inspirasi kepada gadis sertai sukan terjun

TOKYO, 2 OGOS: Selepas mencuri hati rakyat Malaysia dengan persembahan terpuji dan senyuman menawan di Olimpik Tokyo 2020, atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri ingin memberi inspirasi kepada para gadis untuk menyertai sukan itu.

Berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur, Nur Dhabitah bersedia memainkan peranan sebagai duta kepada sukan akuatik yang disayanginya bagi menggalakkan lebih ramai anak muda melibatkan diri dalam sukan terjun.

“Dengan persembahan saya di Olimpik, saya harap ramai gadis yang akan mencuba sukan terjun.

“Saya fikir kita perlu lebih ramai penerjun dan pertandingan… Perlu lebih banyak bersaing antara satu sama lain, bukan sahaja dalam kalangan pemain remaja, malah remaja juga boleh bertanding dengan senior, bagi menghidupkan mod permainan,” katanya menerusi video daripada laman Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Pada saingan akhir 3 meter (m) papan anjal wanita individu pada Ahad, Nur Dhabitah terlepas peluang meraih pingat gangsa apabila menamatkan saingan pada kedudukan keempat dengan 326.15 mata, di belakang juara bertahan Shi Tingmao (383.50) dan Wang Han (348.75) dari China serta penerjun Amerika Syarikat Krysta Palmer (343.75).

Nur Dhabitah yang menjadi sohor kini dalam platform media sosial disebabkan senyuman yang sentiasa terukir sebelum setiap terjunan berkata: “Saya tidak sengaja melakukannya, hanya cuba relaks dan menikmati pertandingan, tidak menunjukkan rasa takut.”

Malah, beliau juga berjaya mendapatkan beberapa tip berharga daripada pakar papan anjal Tingmao, yang memenangi empat pingat emas Olimpik dan lapan kejuaraan dunia secara keseluruhan.

“Saya tidak katakan kami rapat, tetapi kami berbual, beliau sangat ramah dan saya bertanya kepadanya bagaimana untuk beraksi lebih baik dalam beberapa perkara. Beliau memberi nasihat, sangat membantu dan berharap dapat menggunakannya semasa latihan apabila saya pulang dari Olimpik,” katanya.

Pemenang pelbagai pingat di Sukan Asia dan Komanwel, Nur Dhabitah berharap dapat menambah baik prestasinya dalam memburu pencapaian di Paris 2024, selain mempertimbangkan untuk mencuba dalam acara 10m platform.

Selepas berbulan menjalani latihan melalui pendekatan berasaskan kuarantin di bawah gelembung sukan, beliau mengakui melihat peserta dari negara lain dan berjalan di sekitar Perkampungan Sukan, sedikit sebanyak membantu menghilangkan tekanannya.

-BERNAMA


Pengarang :