Petugas kesihatan menunjukkan vaksin yang telah disukat kepada pelajar antarabangsa dalam Program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 18 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

75 peratus penuntut, kakitangan UIAM terima vaksin

75 peratus penuntut, kakitangan UIAM terima vaksin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 19 OGOS: Sebanyak 75 peratus daripada 31,500 penuntut dan kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menerima suntikan pelalian Covid-19 setakat ini.

Pengarah pusat pemberian vaksin (PPV) UIAM berkata jumlah itu membabitkan dos pertama dan kedua menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

“Dengan perkembangan ini, kita percaya sasaran 85 peratus pelajar dan kakitangan menerima vaksin mampu dicapai menjelang semester baharu yang bakal dibuka pada Oktober depan.

“Ia penting bagi memudahkan sesi pembelajaran walaupun kita mempunyai banyak pilihan dan tidak semestinya dibuat secara fizikal semata-mata,” kata Dr Muhammad Faris Abdullah ketika ditemui pada program Selvax Komuniti di sini semalam.

Beliau turut menghargai peluang diberikan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dalam program tersebut bagi meningkatkan kadar suntikan vaksin kepada pelajar dan kakitangan.

“Sebelum ini kita cuba menubuhkan PPV tetapi akhirnya dapat peluang dengan Kerajaan Negeri. Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk pastikan pelajar dan kakitangan divaksin segera,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :