Sekumpulan adiwira yang dikenali “Adiwara Pulau Pinang” hadir memberi semangat dan sokongan kepada orang ramai yang datang untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di SPICE Convention Centre (SPICE CC) di daerah Timur Laut George Town pada 18 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

‘Adiwira’ berkumpul di PPV Mega ceriakan suasana, terima vaksin

GEORGE TOWN, 18 OGOS: Adiwira pelbagai fiksyen telah berkumpul di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega Setia Spice Arena petang ini untuk menceriakan suasana, memberi sokongan dan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Kebanyakan adiwira yang berkumpul di sini adalah karektor daripada Marvel Universe seperti Black Panther, Captain America, Incredible Hulk dan Spider-Man.

Turut serta Batman daripada DC Comics dan adiwira kegemaran dari Jepun seperti Ultraman dan Kamen Rider.

Kesemua karektor ini, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan cosplay ‘Adiwira Penang,’ mengiringi Azhar A Rahman, 64, yang mengenakan kostum bagi watak Predator daripada filem aksi fiksyen sains ‘Alien vs Predator’.

Azhar berkata beliau menerima dos kedua bagi suntikan vaksin Covid di PPV itu dan ingin menggunakan peluang tersebut untuk menceriakan suasana serta menunjukkan sokongan kepada warga Pulau Pinang.

Beliau berkata pihaknya telah merancang perhimpunan adiwira itu sejak minggu lepas dan ingin memberikan kejutan istimewa kepada petugas barisan hadapan.

“Respons keseluruhan daripada orang ramai amat positif dan saya benar-benar menghargainya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, warga Pulau Pinang dan staf PPV itu turut mengambil kesempatan untuk bergambar dengan kesemua adiwira.

Azhar turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan dan petugas barisan hadapan atas usaha mereka ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat.

Beliau juga menggesa orang ramai agar mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi diri mereka dan orang sekeliling daripada jangkitan Covid-19.

“Adiwira seperti kami pun tampil untuk mendapatkan vaksin, jadi kami harap semua rakyat Malaysia dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjadikan negara kita tempat yang lebih selamat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :