EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian bergambar bersama wakil pengusaha inap desa, pemandu pelancong dan hos komuniti Selangor pada Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Khas Pelancongan di Bilik Mesyuarat MTES SUK, Shah Alam pada 19 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bantu pengusaha hotel, Kerajaan Negeri pertimbang kurang cukai

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang memberi penangguhan atau pengurangan cukai kepada pengusaha hotel dan penginapan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata antara bantuan yang boleh dipertimbangkan kepada pengusaha terlibat adalah pemotongan cukai pintu, tanah serta permit.

“Kerajaan Negeri sedang bermesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung jumlah hotel dan persatuan untuk memberi pengurangan cukai.

“Kita perlu teliti kesan kepada setiap PBT kerana pemotongan cukai pintu dan tanah akan beri impak kewangan malah jika pemotongan sepenuhnya akan beri impak sangat teruk terhadap hasil kutipan PBT.

“Laporan lengkap berhubung cadangan ini akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berhubung pelan pemulihan industri pelancongan dan perhotelan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperuntuk sejumlah RM5.51 juta pada tahun lalu dan RM2.55 juta (tahun ini) menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin untuk memulihkan industri pelancongan.

“Melalui dua pakej ini enam inisiatif dilaksana antaranya insentif khas bersasar iaitu bayaran sekali bayar kepada penggiat industri pelancongan serta program agihan subsidi baucar pelancongan.

“Selain itu, promosi pelancongan giat dijalankan melalui pelaksanaan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ bagi merangsang ekonomi pelancongan domestik khususnya kepada sektor perhotelan dan industri berkaitan,” katanya.


Pengarang :