Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyantuni penduduk sebelum menyampaikan pek keperluan asas ketika program pengedaran barangan asas anjuran DUN Sentosa yang turut disertai ADNnya Dr Gunarajah George (kanan) dan Pengasas Persatuan Kebajikan Love and Care Selangor Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng (dua, kiri) di Taman Sri Mewah, Klang pada 14 Ogos 2021.Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Hampir 100 peratus individu dewasa di Selangor terima dos pertama

KLANG, 14 OGOS: Hampir 100 peratus penduduk dewasa di Selangor yang mendaftar telah menerima dos pertama suntikan pelalian, kata Dato’ Menteri Besar.

Berdasarkan perkembangan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari menjangkakan penurunan kes Covid-19 di negeri ini pada September.

“Kerajaan Negeri serius dalam perkara ini maka jika ada yang tertinggal atau belum daftar boleh rujuk dengan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita akan minta mereka divaksin memandangkan ia boleh turunkan kes dalam masa terdekat. Mungkin pada September suasana berbeza dapat dilihat,” katanya ketika berucap pada program pengedaran barangan asas kepada penduduk di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di sini hari ini.

Program dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Love and Care Selangor turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr Gunarajah George.

Kelmarin, Amirudin memaklumkan kes Covid-19 kategori tiga hingga lima akan menurun hujung bulan ini atau September susulan proses vaksinasi direncanakan.

Pada 16 Julai, beliau berkata semua rakyat negeri ini yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Bagi mempercepatkan kadar vaksinasi penduduk, Kerajaan Negeri melancarkan program Vaksin Selangor (Selvax) Industri dan Komuniti pada Jun dengan menumpukan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Usaha membabitkan kos RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).


Pengarang :