Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Remaja 12 hingga 17 tahun lulus untuk divaksin

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan memulakan proses suntikan vaksin untuk remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Menteri penyelarasnya berkata remaja yang mempunyai penyakit kronik diberi keutamaan disusuli individu tanpa masalah perubatan mengikut penurunan umur, lapor Bernama.

Khairy Jamaluddin menjelaskan kaedah tersebut mengikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Pengumuman akan dibuat minggu depan oleh JKJAV bagaimana vaksinasi Covid-19 untuk remaja dibuat selari pekeliling Dr Noor Hisham dan garis panduan klinikal terkini,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia meluluskan penggunaan vaksin untuk remaja yang dibahagikan kepada dua kategori.

Dalam surat pekeliling bertarikh 12 Ogos, Dr Noor Hisham berkata remaja yang mempunyai masalah kesihatan perlu menjalani penilaian pravaksinasi oleh pegawai atau pakar perubatan.

“Penilaian dibuat berdasarkan status kesihatan semasa, sejarah perubatan, sejarah alergik serta rawatan atau ubatan yang sedang diterima.

“Tidak semua bakal penerima vaksin akan melalui prapenilaian ini, hanya tiga kategori sahaja yang perlu menjalani penilaian,” katanya.

Kategori tersebut ialah individu yang mempunyai sejarah alahan teruk, sistem imun lemah akibat penyakit atau rawatan diterima dan mereka yang menerima rawatan ubat pencair darah atau mempunyai masalah kesihatan sehingga menyebabkan kecenderungan mengalami pendarahan.

 

 


Pengarang :