Rumah api di puncak Bukit Malawati antara kesan tinggalan sejarah di lokasi berkenaan. Foto arkib Selangorkini
PBTSELANGOR

MPKS naik taraf taman bandar lama, lebih mesra pengguna

SHAH ALAM, 8 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan menaik taraf beberapa taman bandar lama bagi memelihara dan memulihara warisan sejarah.

Yang dipertuanya berkata lokasi itu ialah Dataran Keris (Ixora), Dataran malawati, Bukit Malawati, Pantai Remis dan Pekan Lama Kuala Selangor.

Rahilah Rahmat menjelaskan lokasi berkaitan akan disediakan ruang santai dan beriadah yang lebih mesra pengguna.

“Selaras slogan Kuala Selangor Indah dan Bersejarah, pembentukan bandar ini mengekalkan konsep legasi sejarah dalam taman sebagai elemen utama,” katanya.

Menurut Rahilah, laluan pejalan kaki dan basikal juga akan ditambah di kawasan mempunyai kepadatan penduduk tinggi terutama Bandar Puncak Alam serta Saujana Utama bagi menyokong elemen bandar selamat.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 21 lokasi titik panas dikenal pasti untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dijangka seawal tahun depan.

“Beberapa laluan alternatif dirancang bagi penguraian lalu lintas di kawasan tertentu selain pemasangan lampu isyarat pintar di enam lokasi dipersetujui tahun ini,” kata Rahilah lagi.

Semalam Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memperkenan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dimasyhur sebagai perbandaran.

Upacara pemasyhuran disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya.


Pengarang :