Najmuddin Jemain mengangkat sumpah sebagai yang dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 2 Ogos 2021. Foto MPKj
PBTSELANGOR

Najmuddin dilantik yang dipertua MPKj baharu

SHAH ALAM, 2 OGOS: Najmuddin Jemain dilantik sebagai yang dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) baharu berkuat kuasa 19 Julai lalu.

Berucap selepas majlis angkat sumpah hari ini, Najmuddin meminta MPKj berganding bahu membantu golongan terkesan akibat penularan Covid-19 seperti individu hilang kerja, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

“Seluruh kakitangan MPKj perlu sentiasa proaktif menghulurkan bantuan mengikut kemampuan serta memudahkan urusan pemegang taruh bagi bersama-sama bangkit,” katanya.

Najmuddin berkata beliau juga akan memberi fokus meningkatkan sistem penyampaian pihak berkuasa tempatan itu selaras sasaran mencapai status bandaraya di bawah Pelan Strategik MPKj 2021-2025.

Selain itu menjayakan dasar digital negara dan bandar pintar dengan memperkenalkan perkhidmatan serta aplikasi dalam talian bagi memudahkan urusan orang ramai.

Najmuddin, 46, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan pegawai daerah Hulu Langat menggantikan Dato’ Zulkefli@Zulkefli Khalid.


Pengarang :