Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega UiTM Puncak Alam pada 3 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR RADIN ROSLAN
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Urusan kebumi jenazah pesakit Covid-19 maksimum 24 jam

SHAH ALAM, 3 OGOS: Langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat bulan lalu memendekkan urusan pengebumian mayat umat Islam tidak melebihi 24 jam.

Menurut Dato’ Menteri Besar pengurusan jenazah dapat dilancarkan dengan menjadikan tiga hospital sebagai tempat pengurusan jenazah bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.

Tiga hospital berkenaan adalah Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri juga dalam proses membantu mengurangkan waktu pengurusan jenazah mangsa Covid-19 bukan Islam yang kini mengambil masa tiga hingga empat hari.

“Pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedang bertemu pengendali jenazah bukan Islam supaya kita boleh percepatkan proses itu (pengebumian).

“Kes limpahan mayat di HTAR telah ditangani dengan format kita buat,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

17 Julai lalu, Amirudin mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat bagi mengatasi masalah kesesakan bilik mayat.

Menerusi langkah itu, Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan HTAR dijadikan tempat pengurusan hal ehwal berkaitan mangsa sama ada Islam atau bukan Islam.


Pengarang :