Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ketika sesi soal lisan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 20 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Kaji semula sasar pendapatan isi rumah RM10,000, pengangguran tinggi

SHAH ALAM, 28 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kerajaan persekutuan mengkaji semula sasaran purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025.

Ketua pembangkang berkata sasaran itu tidak realistik jika dilihat kepada situasi terkini kadar kemiskinan, pengangguran dan pertumbuhan lembap ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.

“Sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bunyinya lunak tetapi kita bimbang sasaran tidak realisitik dan tidak mampu dicapai.

“Saya lebih setuju Unit Perancang Ekonomi tekankan keadaan kemiskinan yang sebenar daripada membuat rumusan secara menyeluruh,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata perdana menteri perlu memberi perhatian berhubung isu 46 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Saya ingin bertanya adakah simpanan kurang RM10,000 dalam KWSP akan naik secara mengejut empat tahun akan datang? Saya harap kenyataan ini diberi perhatian lebih,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri semalam, bahawa seramai 10,317 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis pada Mac 2020 hingga Julai 2021.

Malah katanya, dalam tempoh sama kira-kira 1,246 perniagaan ditutup sepenuhnya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :