Kit ujian kendiri Covid-19 menggunakan sampel air liur. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM1 juta sudah diguna untuk sedia kit kendiri pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kerajaan Selangor sudah membelanjakan 82.34 peratus daripada peruntukan RM1.25 juta bagi menyediakan kemudahan kit ujian kendiri atau Home Assessment Tool (HAT) kepada pesakit Covid-19 negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan melibatkan RM1 juta itu sudah diguna untuk memelihara kesihatan rakyat, setakat 21 September.

Menurutnya Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terbela sepanjang penularan pandemik ini.

“Inisiatif HAT diperkenalkan dalam Pakej Kita Selangor 2.0 sebagai satu alat penilaian kendiri untuk pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah.

“Ia mengandungi pelitup muka KN95, termometer, oximeter, ubat, dan kit ujian air liur ini sangat penting untuk mengelakkan kes kematian di luar hospital (BID),” katanya di Facebook hari ini.

Pada 12 Ogos, Amirudin berkata Kerajaan Selangor mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak.

Kit itu diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

Usaha Kerajaan Selangor itu dicontohi kerajaan persekutuan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian Pakej Penjagaan Covid-19 kepada keluarga B40 sebagai persediaan ke arah era endemik pada 19 September.


Pengarang :