Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air di Sepang, Putrajaya, Kuala Langat pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 5 SEPT: Bekalan air bersih di wilayah Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang terjejas akibat pencemaran bau Sungai Semenyih pulih sepenuhnya setakat jam 7 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pemulihan di dua lagi kawasan terjejas iaitu Hulu Langat pada kadar 92.6 peratus manakala Petaling (81.4 peratus).

Menurutnya pemulihan bekalan air di 463 kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 92.2 peratus.

“Air Selangor ingin menyarankan agar para pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor juga berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” menurut kenyataan di Facebook.

Semalam, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang http://www.airselangor.com.


Pengarang :