Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan KEADILAN cabang Gombak di Dewan Beringin, Seri Gombak pada 11 April 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Perjuangan reformasi lebih dua dekad berjaya ubah landskap, persekitaran masyarakat

SHAH ALAM, 5 SEPT: Perjuangan reformasi sejak 23 tahun terbukti berjaya mengubah landskap dan persekitaran masyarakat di negara ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Justeru, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata gerakan massa dimulakan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dirakam sejarah sebagai penentu hala tuju baharu kepada masa depan negara.

Beliau menjelaskan gerakan reformasi pada September 1998 boleh dianggap sebaris dengan detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan peristiwa berdarah rusuhan kaum paling dasyat pada 13 Mei 1969.

“Saya dengar rakan-rakan aktivis menyebut beberapa kalimat yang cukup bermakna antaranya nepotisme, kronisme, ‘the rule of law, not the law of the jungle’, kaya bertambah kaya dan miskin papa kedana.

“Kalimat itu bukan sekadar retorik dan suara disampaikan Anwar sewaktu jelajah menghimpunkan rakyat dan mengajak gerakan massa, tetapi kalimat itu terkandung dalam semangat penting reformasi iaitu ingin mengubah landskap politik serta hala tuju negara.

“… yang memastikan pengagihan kekayaan adil kepada rakyat, tatakelola dan tadbir urus bersih, bebas rasuah serta melihat orang miskin dan terpinggir diberi perhatian berbanding order (pemerintahan) lama yang selalu menitik berat politk kebangsawanan,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada program pentas rakyat sempena 23 tahun reformasi anjuran Institusi Darul Ehsan (IDE) dan Akademik Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia secara langsung menerusi Facebook malam tadi.

Malah, beliau yang juga Dato’ Menteri Besar menjelaskan KEADILAN dari semasa wujud sebagai sebuah parti pelbagai kaum mengikut beberapa pandangan pimpinan awal pada ketika itu.

“Ia ditertawakan, ada yang mencebik dan sinis mengatakan bahawa parti pelbagai kaum tidak akan mempunyai masa depan kerana akar asas dalam politik perkauman di Malaysia tidak mungkin boleh dirungkai.

“…tidak mungkin isu rasuah mengatasi kepentingan isu kaum dan agama sebagaimana landasan politik kita yang dibina sejak merdeka dan beberapa detik penting lain,” katanya.


Pengarang :