AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dua lagi wakil rakyat negeri sertai Sahabat Perkeso Prihatin

SHAH ALAM, 6 SEPT: Dua lagi wakil rakyat negeri menyertai Sahabat Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Prihatin bagi memudahkan urusan pencarum menuntut manfaat.

Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu berkata pemimpin tersebut ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar dan ADN Kuala Selangor Juwairiya Zulkifli.

Beliau menjelaskan penglibatan ramai wakil rakyat mempercepat urusan membuat tuntutan berikutan masyarakat sering hadir ke pusat khidmat untuk meminta bantuan.

Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu

“Sejak kerjasama dua wakil rakyat iaitu ADN Kota Damansara Shatiri Mansor dan ADN Batu Tiga Rodziah Ismail, sebanyak enam kes berjaya diselesaikan,” katanya ketika dihubungi.

Zainol turut berharap lebih ramai ADN terlibat dalam program itu berikutan hampir 80 peratus penduduk Selangor bekerja dan terdedah risiko kehilangan nyawa.

“ADN yang berminat akan diberi taklimat dan hanya perlu memuat naik aplikasi Sahabat Perkeso Prihatin serta menyalur maklumat penduduk bermasalah termasuk membabitkan kematian,” katanya.

Kerjasama Perkeso dan wakil rakyat negeri ini memudahkan urusan membantu pencarum berikutan ada yang tidak tahu kaedah mendapat pampasan jika berlaku kejadian tidak diingini.

Pada 29 Ogos, Zainol berkata Perkeso membayar lebih RM3 juta pampasan kepada pekerja di negeri ini yang dijangkiti Covid-19 atau waris mereka bagi kes melibatkan kematian.


Pengarang :