Petugas kesihatan yang lengkap memakai alat perlindungan diri (PPE) meguruskan mayat pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Kristian Klang pada 9 Ogos 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lanjut operasi krematorium percepat urusan mayat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 4 SEPT: Tempoh pengurusan mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di krematorium negeri ini berjaya disingkatkan antara dua hingga tiga hari berbanding seminggu sebelum ini.

EXCO kerajaan prihatin menjelaskan penambahbaikan itu berikutan lanjutan waktu operasi kompleks pembakaran sehingga jam 6.30 petang berbanding 4.30 petang beberapa bulan lalu.

V Ganabatirau berkata pembinaan krematorium baharu di Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) turut memberi kesan terhadap perubahan tersebut selain kerjasama syarikat swasta.

“Keadaan banyak berubah dari Julai dan sehingga sekarang kerana masa menunggu sudah kurang kepada dua hingga tiga hari. Paling penting angka (pembakaran tertangguh) yang ramai dapat diperbaiki.

V Ganabatirau bercakap kepada media berkaitan peruntukan rumah ibadat selain Islam fasa 2/2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI

“Saya percaya Kerajaan Selangor melakukan usaha yang sangat baik dengan menerima mayat sehingga 6.30 petang termasuk menyediakan prasarana untuk mengendalikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara bertajuk Usaha Selangor Atasi Kesesakan Krematorium yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Ganabatirau berkata Selangor turut bercadang membina krematorium di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang bagi menampung peningkatan mayat mangsa wabak.

“Kita juga fikir tempat di Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor tetapi masih diperhalusi kerana tempat ini masih menjalankan pembakaran tradisional,” katanya.

Setakat ini, sebanyak lima pihak berkuasa tempatan negeri memiliki kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan MPSepang.

 


Pengarang :