Selangorkini
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menerima kunjungan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 25 Ogos 2021. Foto Pejabat Perdana
AGENDA NASIONAL

PAKATAN, kerajaan pusat capai persefahaman tangani Covid-19, ekonomi negara

SHAH ALAM, 12 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) dan kerajaan pusat hari ini mencapai persefahaman untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi menerusi pendekatan ‘dwi-partisan’.

Menerusi kenyataan bersama PAKATAN dan wakil kerajaan, dengan persefahaman ini tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu.

“Selepas mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil kerajaan dan PAKATAN hari ini memuktamadkan sebuah MoU di antara kerajaan persekutuan dan PAKATAN.

“Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, kedua-dua pihak bersetuju memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pada 5 petang, esok, di Dewan Bankuet di bangunan Parlimen.

Majlis menandatangani MoU tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti PAKATAN iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu  dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Menurut kenyataan itu lagi, rundingan hari ini disertai Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Aamanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Wakil kerajaan pula disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Hasil rundingan itu juga, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya MoU ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

 


Pengarang :