Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (kanan) beramah mesra dengan para pengunjung semasa melakukan tinjauan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sekitar Pantai Bagan Lalang pada 18 Sept 2021. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengunjung Pantai Bagan Lalang ingkar SOP dikompaun mulai minggu depan

SEPANG, 25 SEPT: Pengunjung Pantai Bagan Lalang, di sini, yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan akan dikenakan tindakan kompaun mulai minggu depan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Datuk Abd Hamid Hussain berkata individu yang ingkar akan dikompaun sehingga RM2,000 manakala RM10,000 bagi syarikat atau perbadanan.

“Penguat kuasa sudah membuat pemantauan sejak dua minggu lalu dan setakat ini mengambil pendekatan bertolak ansur dengan memberi teguran menjaga kesihatan selain meminta pengunjung patuh SOP.

“Sekiranya masih gagal patuh arahan, tindakan lebih tegas akan dikenakan bermula minggu depan,” katanya pada sidang media SOP Bagan Lalang di sini hari ini.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata seramai 2,968 pengunjung ke pantai peranginan itu diperiksa sejak 16 sehingga 24 September.

Selain itu katanya 243 premis turut diperiksa bagi tempoh sama dan daripada jumlah itu, 34 daripadanya dikenalpasti gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Jumlah keseluruhan pengunjung dan peniaga yang dikenalpasti tidak lengkap divaksin menerusi pemantauan berkenaan adalah seramai 98 orang dan mereka diarahkan untuk pulang serta-merta,” katanya.

Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan MPSepang dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Pejabat Kesihatan Sepang, Ibu Pejabat Polis Sepang serta Pejabat Tanah dan Galian Sepang.


Pengarang :