Abdul Razak Mohamad Razali menggantung lesen sementara yang diserahkan kepadanya oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awan dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dalam Program Pemberian Permit Penjaja Sementara Pasca Covid-19 di Pusat Perniagaan Taman Puncak Jalil, Subang Jaya pada 7 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Penjaja Taman Puncak Jalil lega terima lesen niaga sementara MBSJ

SUBANG JAYA, 8 SEPT: Seorang peniaga nasi ganja di Taman Puncak Jalil di sini mengakui tidak lagi perlu berniaga dalam ketakutan selepas memperoleh lesen sementara.

Mohd Hafiz Mahat, 43 berkata sebelum ini setiap kali berniaga dia berada dalam situasi bimbang kerana khuatir beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Saya dah berniaga lebih tiga tahun secara ‘rambo’… ada la beberapa kali di saman dengan denda RM80 setiap kali di saman.

Penjual nasi ganja, Mohd Hafiz Mahat, 43. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Lepas dapat lesen rasa lega kerana sekarang dah ‘halal’. Alhamdulilah terima kasih kepada MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya) atas peluang yang diberikan ini,” katanya pada majlis penyerahan lesen sementara di sini, semalam.

Menurut Mohd Hafiz dia memohon lesen berkenaan pada awal tahun ini.

Penjual nasi lemak, Normiza Halim, 39 pula tidak menjangka akan memperoleh lesen kerana baru menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan beberapa hari yang lalu.

Beliau berkata sebelum ini dia berniaga di Kuala Lumpur dan berpindah ke kawasan itu kerana dimaklumkan MBSJ memudahkan urusan permohonan mendapatkan lesen sementara.

“Inilah rezeki sepanjang dua tahun berniaga dengan tujuan membantu suami yang hilang kerja ketika PKP (perintah kawalan pergerakan) kini memperoleh lesen,” katanya.

Semalam, seramai 120 peniaga menerima lesen sementara dari MBSJ yang disampaikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata langkah tersebut untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana semula pendapatan.


Pengarang :