Orang ramai menunaikan solat berjemaah selepas Kerajaan Selangor membenarkannya dengan kapasiti terhad untuk individu lengkap vaksin ketika tinjauan di Masjid Ar-Rahimah Taman Greenwood, Gombak pada 4 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Ramai bersyukur, gembira dapat kembali berjemaah di masjid

GOMBAK, 4 SEPT: Syukur, alhamdulilah. Itu reaksi umat Islam di Masjid Ar-Rahimah, Greenwood di sini yang menunaikan solat selepas syarat jumlah jemaah dilonggarkan di Selangor bermula semalam.

Peniaga Mohd Zahari Abdul Ghani, 41, berkata selepas beberapa bulan tidak berjemaah di masjid, semalam adalah hari paling mengembirakan dirinya selepas mengetahui ketetapan itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Mohd Zahari Abdul Ghani. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya memang berjemaah di sini tetapi bila Covid-19 melanda diikuti ada SOP (tatacara operasi piawai) tertentu jadi terpaksa solat di rumah. Namun semalam adalah hari gembira buat semua kariah untuk kembali mengimarah rumah Allah.

“Kes pun makin menurun dan ia kejayaan program vaksinasi yang menyumbang kepada masjid kembali dibuka kepada umum. Jadi saya harap lebih ramai hadir ke rumah ibadat dengan harapan Allah angkat wabak ini dari muka bumi,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, pengurus syarikat swasta Mohd Sabri Musa , 46, mengakui sedikit terkilan kerana lambat mengetahui kelonggaran SOP berkenaan sehingSabri Musaga terlepas peluang untuk menunaikan solat Jumaat, semalam.

Mohd Sabri Musa. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Waktu terlepas tu rasa bersalah dan ralat kenapa lambat baca WhatsApp. Ini kerana dah lama tak sembahyang Jumaat,” katanya yang memaklumkan beliau sedang bermesyuarat ketika itu.

Katanya, umat Islam perlu mengambil kesempatan dengan keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu untuk kembali berjemaah di masjid.

“Ia satu nikmat apabila kita boleh beribadat di masjid. Lagi ramai jemaah lagi bertambah pahalanya maka makin bertambah suasana mengimarah masjid ini,” katanya.

Semalam, Kerajaan Selangor melonggarkan syarat solat Jumaat untuk 100 orang di masjid dan 50 bagi solat jemaah lima waktu termasuk di surau berkuat kuasa pada waktu subuh.

Kelonggaran itu untuk ahli jemaah di dalam kariah masing-masing yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, umum EXCO Hal-Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam siaran menerusi Facebook, beliau memaklumkan kelonggaran ini harus dilaksanakan secara bergilir sama ada untuk solat Jumaat atau lima waktu, namun kegiatan lain seperti ceramah hanya boleh dijalankan dalam talian.


Pengarang :