EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni meninjau harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6, Shah Alam pada 21 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Semak dasar makanan negara, atasi isu berulang harga ayam naik

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan disaran menyemak semula dasar pertanian dan keselamatan makanan bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kebergantungan terhadap import bekalan mentah untuk membuat makanan ayam menjadi punca kenaikan harga di pasaran ketika ini.

“Punca kenaikan harga ayam kerana Malaysia masih mengimport barang mentah untuk buat makanan ayam iaitu jagung. Jadi, saya menyarankan kerajaan melihat semula dasar berkenaan.

“Sekiranya jagung menjadi punca kenaikan berulang harga ayam, saya harap ia diberi perhatian sebagaimana sumber makanan asas lain. Malaysia mempunyai kawasan luas yang boleh diusahakan untuk pertanian,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas meninjau pematuhan harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6 di sini hari ini yang turut disertai Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Abdullah.

Sementara itu, tinjauan mendapati peniaga di pasar terbabit menjual ayam pada harga antara RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram.

“Harga purata tersebut adalah hasil semakan semula dan perubahan harga dibuat pihak peniaga semasa pemeriksaan dijalankan KPDNHEP Selangor,” kata Mohd Zawawi.

 

 


Pengarang :