Kelihatan seorang lelaki berbasikal secara bersendirian di Seksyen 4, Shah Alam pada 16 Januari 2021. Aktiviti itu dibenarkan secara berseorangan dan tidak melebihi radius 10km dari kawasan kejiranan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Denda hingga RM5,000, penjara 12 bulan jika berbasikal di lebuh raya

SHAH ALAM, 18 OKT: Aktiviti berbasikal di lebuh raya tanpa kebenaran polis dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) boleh didenda hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata penunggang basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, lapor Harian Metro.

“Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

“Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala Seksyen 112(3) pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal,” kata Datuk Mat Kasim Karim.

Beliau berkata, penunggang yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang pada basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Katanya, kaedah 42 yang membawa hukuman sama boleh dikenakan jika basikal tiada brek dan loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan.

Mat Kasim berkata berdasarkan rekod sebanyak 150 kes kemalangan membabitkan penunggang basikal, sejak Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, menurutnya, sebanyak 71 kes kematian, manakala 24 cedera parah dan 55 lagi cedera ringan.

 


Pengarang :