Pengunjung gerai Seksyen 9, Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengawal penjarakan fizikal sewaktu membuat pembelian ketika tinjauan pada 9 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Diskaun sewa, permit antara usaha MBSA bantu peniaga ketika pandemik

SHAH ALAM, 15 OKT: Pengecualian bayaran lesen dan sewa tapak selama dua bulan antara usaha Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membantu peniaga kecil dalam tempoh pandemik.

Inisiatif dengan kesan kewangan RM1.45 juta pada Jun dan Julai lalu bagi memastikan kelangsungan ekonomi golongan itu, kata Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

“MBSA juga mengecualikan bayaran sewa premis majlis yang tidak beroperasi dan diskaun sewa 50 peratus dalam tempoh sama dengan implikasi kewangan RM1.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan@Shah Alam di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam di sini semalam.

MBSA juga memberi diskaun bayaran permit penjaja sementara kendera saji dari RM300 kepada RM90, tambah Zamani.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 7,000 peniaga kecil bawah pentadbiran MBSA menerima lesen sementara tahun ini.

Bermula Ogos tahun lalu, pihak berkuasa tempatan negeri memberi permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah yang terjejas akibat Covid-19.


Pengarang :