Rodziah Ismail bersama penerima pada majlis penyerahan sijil penghargaan dan bantuan peralatan perniagaan kepada 30 peserta fasa kedua Grow di Foyer SUK pada 15 Oktober 2021. Foto Facebook Rodziah Ismail
EXCOSELANGOR

EXCO: Perluas fasa ketiga program Grow, tambah kursus mekanikal

SHAH ALAM, 15 OKT: Fasa ketiga program bimbingan perniagaan (Grow) di bawah Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) dilaksana dalam masa terdekat.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata fasa selanjutnya itu akan diperluas dengan tambahan kursus mekanikal dan forklift.

“Penambahan kursus ini mampu meningkatkan pendapatan dan mengisi peluang pekerjaan kerana perniagaan tidak terhad kepada makanan dan minuman sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sijil penghargaan dan bantuan peralatan perniagaan kepada 30 peserta fasa kedua Grow yang menamatkan kursus tiga bulan di Foyer SUK di sini hari ini.

Kesemua peserta tersebut menjalani kursus dalam bidang iaitu fotografi, urutan dan penyelenggaraan penghawa dingin.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin dan Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunaraj.

Rodziah berkata pihaknya juga menggalakkan peserta yang menyertai kursus mewujudkan syarikat bersama atau bekerja dengan syarikat peneraju.

“Mereka digalak membuka syarikat bersama peserta dan apabila mempunyai kemahiran asas dan mahu menambah beberapa peralatan serta modal, kita akan berikan,”katanya.

Program Sitham dilancarkan pada September 2019 menumpukan usahawan yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Empat program keusahawanan ditawarkan iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan (Grow) dan program bantuan peralatan perniagaan (Geran).


Pengarang :