AGENDANASIONAL

KKM tandatangan pembelian ubat antiviral rawat Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) pembelian ubat antiviral Molnupiravir bagi menambah pilihan rawatan inovatif baharu dalam melawan Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata melalui perjanjian bersama Merck Sharp & Dohme itu, kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit Covid-19.

“Keputusan ini dibuat sebagai persediaan kita memulakan peralihan ke fasa endemik untuk hidup bersama virus Covid-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baharu sebagai ‘senjata’ untuk melawan Covid-19, selain penggunaan vaksin dan tindakan-tindakan kesihatan awam yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy sebelum ini memaklumkan Malaysia sudah memulakan proses rundingan perolehan ubat antiviral itu daripada Merck Sharp & Dohme, sebagai langkah memperkasa usaha dalam peralihan kehidupan bersama Covid-19.

Mengulas lanjut, Khairy berkata berdasarkan kajian dijalankan syarikat berkenaan, penggunaan ubat Molnupiravir boleh menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus.

Selain itu, ia turut berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu.

“Bagaimanapun ingin saya nyatakan di sini bahawa sekalipun ubat Molnupiravir ini berkesan, ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi kerana fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk.

“Ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan. Ia hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti,” katanya sambil menegaskan, kerajaan memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit Covid-19 bagi memberi impak yang lebih besar terhadap usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan.

Sementara itu, Khairy berkata KKM akan terus memantau perkembangan pembangunan ubat-ubatan berkaitan rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia untuk memastikan negara tidak ketinggalan dalam mendapatkan rawatan terbaik kepada penduduk Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :