AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Paip injap baharu mampu bertahan sehingga 27 tahun

KUALA SELANGOR, 14 OKT: Paip injap di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 diyakini mampu bertahan sehingga 27 tahun selepas kerja penyenggaraan dan penambahbaikan selesai dilaksana.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketahanan peralatan baharu itu mengambil kira teknologi moden yang digunakan pada masa kini.

“Sudah pasti dengan perkembangan teknologi, ia akan bertahan lebih lama. Saya tidak mahu buat ramalan awal tetapi paling tidak penukaran ini mengekalkan jangka hayat minimum 25 hingga 27 tahun.

“Bagaimanapun, pemeriksaan dan pemantauan perlu dijalankan sepanjang tempoh berkenaan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini,” katanya selepas meninjau loji rawatan terbabit di sini malam tadi.

Sementara itu menerusi Twitter, Amirudin berkata kerja penyenggaraan di loji berkenaan melibatkan pertukaran paip injap usang yang mula digunakan sekitar 1994.

“Sudah berusia 27 tahun dan harus diganti. Sebab utama kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan demi keselesaan rakyat pada masa depan,” katanya.

Semalam Air Selangor menyenggara aset kritikal di loji terbabit setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Susulan itu, orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang esok, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang hentitugas.airselangor.com .

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :