Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Parlimen: Manfaat vitamin C rawat pesakit Covid-19, bukan hanya Molnupiravir

SHAH ALAM, 11 OKT: Kerajaan disaran memanfaatkan penggunaan vitamin C dalam merawat pesakit Covid-19 yang lebih murah selain ubat antiviral Molnupiravir.

Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail berkata kajian diterbitkan Jurnal Persatuan Perubatan Amerika Syarikat (Jama) menyatakan keberkesanan merawat pesakit kategori satu dan dua dengan memberi lapan gram dos vitamin C.

Menurutnya hospital di Wuhan, China dan Australia turut dapat merawat pesakit wabak kategori empat dan lima dengan memberikan antara 25 hingga 60 gram dos.

“Ujian menggunakan vitamin C sangat murah tetapi tidak dilakukan…malah ada unit di Kementerian Kesihatan nasihat jangan ambil vitamin lebih 100 miligram, ini karut kerana tiada kajian kukuh mengenainya.

“Benda yang murah tetapi kita tidak pandang, tetapi bila keluar satu ubat belum jelas (Molnupiravir) dan mahal iaitu RM3,000 bagi satu pesakit, kita terus ambil,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan menandatangani surat akujanji pembelian ubat antiviral Molnupiravir bagi menambah pilihan rawatan inovatif baharu dalam melawan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata melalui perjanjian bersama Merck Sharp & Dohme itu, kerajaan bersetuju membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit wabak.


Pengarang :