Deretan kenderaan dilihat sesak menuju ke Kuala Lumpur selepas orang ramai yang pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidiladha kembali ke ibu kota ketika tinjauan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Genting Sempah pada 2 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rentas negeri: 45,000 kenderaan dijangka lalui LPT2 setiap hari

KUALA TERENGGANU, 10 SEPT: Syarikat konsesi lebuh raya, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn Bhd menjangkakan pertambahan trafik antara 38,000 sehingga 45,000 kenderaan sehari apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan sedikit masa lagi.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2 Suhaimi Saat berkata selepas sekian lama berdepan sekatan akibat penularan pandemik Covid-19, orang ramai pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman atau melancong bagi melepaskan tekanan.

Sehubungan itu pihaknya telah melakukan persiapan rapi merangkumi aspek keselamatan dan kemudahan bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman perjalanan yang selesa sekali gus tiba dengan selamat ke destinasi masing-masing.

“Pasukan penyelenggaraan dan kakitangan perkhidmatan pelanggan yang ditempatkan di laluan tertentu di sepanjang 184 kilometer lebuh raya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Malah semua kemudahan awam di kawasan lima Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah LPT 2 sentiasa dibersihkan mengikut jadual yang ketat untuk menjamin keselesaan pengguna dan ia adalah sebahagian komitmen jangka panjang LPT 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi berkata bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna, pihaknya juga menjalin kerjasama dengan pasukan trafik polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi penguatkuasaan di sepanjang lebuh raya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pengguna supaya tidak mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 ketika berada di kawasan R&R dan hentian sebelah.

“Sila patuh kepada arahan supaya melakukan imbasan MySejahtera, memakai topeng muka dan penjarakan fizikal apabila berada di R&R dan hentian sebelah.

“Dengan pertambahan kenderaan, pastinya keadaan akan menjadi sesak dan amat penting untuk orang ramai mematuhi SOP demi kebaikan bersama,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :