Abd Razak Ramli, 35, bersama tiga anaknya menadah air ke dalam tangki sebagai simpanan bekalan ketika tinjauan di Kampung Permatang Pasir, Banting pada 9 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Simpan bekalan air secukupnya, LUAS kongsi tips persediaan

SHAH ALAM, 12 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyarankan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur bersiap sedia menyimpan bekalan air mencukupi susulan penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 bermula esok.

Agensi itu menerusi Facebook mengariskan beberapa tips persediaan sebagai langkah kepada orang ramai bagi menghadapi situasi selama empat hari itu.

Antaranya penduduk disaran menyimpan air sebanyak yang mungkin di dalam bekas; mengenal pasti stesen pengisian air komersial di kawasan terlibat dan memasak serta menyimpan stok makanan lebih awal.

Mereka juga digalak menggunakan perkakas dapur pakai buang seperti bekas plastik; membeli air mineral untuk kegunaan isi rumah dan menggunakan cecair pembasmi kuman atau tisu basah.

Sepanjang 13 hingga 16 Oktober, kerja penyelenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerajaan Selangor juga menggerakkan sukarelawan di peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung bagi membantu pengguna terlibat.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :