Orang ramai hadir melihat peluang kerjaya semasa Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 23 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Lebih 1,000 terima manfaat Jelajah Selangor Bekerja 2021

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 1,108 warga negeri ini telah menerima manfaat menerusi dua siri Jelajah Selangor Bekerja 2021 setakat ini.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah itu merangkumi 239 peserta telah diterima bekerja manakala 513 orang lagi layak untuk temuduga kedua.

“Kerajaan Negeri menyeru warga Selangor untuk menghadiri dan memanfaatkan program ini sebaik-baiknya.

“Jelajah Selangor Bekerja masih berbaki empat lokasi lagi yang akan berlangsung sekitar Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Katanya, mereka yang berminat boleh mengunjungi www.selangorbekerja.com.my untuk maklumat terkini.

“Semoga inisiatif ini dapat membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan masing-masing,” katanya.

Proton, Assembly Services Sdn Bhd (UMW Toyota) dan Oldtown Kopitiam adalah antara syarikat yang menyertai program mencari pekerja ini.

Jelajah Selangor Bekerja diteruskan lagi esok dan dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Selain Hulu Selangor, siri jelajah akan diteruskan di Dewan Meranti, Paya Jaras, Petaling pada 20 November ini.

Penganjuran Jelajah Selangor Bekerja sebelum ini diadakan di Shah Alam serta Kuala Selangor pada 23 dan 30 Oktober lalu.


Pengarang :