Selangorkini
Jongkong aluminium yang disita Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) di sebuah kilang beroperasi tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Sungai Choh pada 9 November 2021. Foto MPHS
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN

MB mahu usaha banteras kilang haram diteruskan, puji tindakan MPHS

SHAH ALAM, 16 NOV: Dato’ Menteri Besar memuji tindakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita sebuah kilang yang beroperasi tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Sungai Choh, Serendah.

Dato’ Seri Amirudin Shari mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan usaha membanteras aktiviti kilang haram.

“Syabas MPHS di atas tindakan penguatkuasaan ini. Teruskan usaha membanteras kilang haram,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau mengulas laporan Selangorkini mengenai tindakan MPHS menyita sebuah kilang yang beroperasi tanpa lesen dan merampas 56 jongkong aluminium bernilai RM300,000 dalam operasi pada 9 November.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri mempergiat usaha membanteras aktiviti kilang haram sejak awal tahun ini.

“Usaha perobohan dan kompaun telah ditingkatkan di semua daerah dan kawasan bagi memastikan aktiviti kilang haram dapat dibasmi,” katanya.

Dalam operasi itu, premis terbabit dikenakan tindakan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil 3 dan 38 Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.

Selain aluminium, turut disita lapan tong gas lima forklift, masing-masing empat unit monitor, papan kekunci, komputer, tiga mesin cetak dan seunit penimbang digital.

Operasi itu turut membawa kepada penahanan dua pekerja warga China ekoran gagal menunjukkan dokumen sah.

 


Pengarang :