Presiden dan Naib Canselor UNISEL merangkap Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berucap ketika Wacana Pemicuan Undi 18 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Program TownHall Undi 18 tarik minat belia dalam politik

SHAH ALAM, 13 NOV: Inisiatif Kerajaan Negeri mengadakan program TownHall Undi 18 merupakan langkah tepat untuk mengubah landskap politik membabitkan golongan belia seluruh negara khususnya di Selangor.

Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) berkata kajian dilakukan bersama Universiti Selangor (UNISEL) mendapati sebanyak 72.4 peratus daripada 1,226 belia di Selangor tidak berminat mengikuti perkembangan politik.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman memaklumkan kajian terhadap responden belia berusia 18 hingga 20 tahun mendapati kebanyakan mereka tidak berminat kerana tiada pendedahan tentang perkembangan politik dan bosan dengan tingkah laku orang politik.

“Kebanyakan mereka tidak tahu apa itu politik dan konteks yang diambil Khairuddin (EXCO generasi muda) merupakan sesuatu yang cukup positif mengetahui apa sebenarnya supaya boleh mengambil langkah proaktif.

“Kita boleh memberi pendedahan perkembangan politik kepada mereka dan dengan cara ini dapat menanam minat sekurang-kurangnya untuk keluar mengundi apabila diberikan peluang,”katanya ketika berucap pada program TownHall Undi 18 Wacana Pemicuan Unid 18 Selangor di Dewan Jubli Perak hari ini.

Terdahulu program yang dihadiri EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman itu dirasmikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Naib Canselor UNISEL memaklumkan kajian mendapati 63.3 peratus responden menyokong pelaksanaan undi 18 dan majoriti daripada mereka akan keluar mengundi.

Kajian berhubung minat belia berusia 18 hingga 20 tahun terhadap perkembangan politik dilakukan bermula 6 hingga 9 November.

Ia melibatkan 1,226 responden di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilakukan secara bersemuka selain melibatkan semua bangsa.


Pengarang :