Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sekolah digital negeri asah bakat tempatan, tawar kursus profesional

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Sekolah Digital Selangor ditubuhkan tahun depan bagi menangani kekurangan bakat tempatan selain mengisi kekosongan 500,000 jawatan dalam bidang itu.

Inisiatif itu membantu individu yang ingin meningkatkan kemahiran atau mengubah kerjaya melalui bantuan jurulatih profesional dengan kos berpatutan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dibuat bersama hab pembelajaran antarabangsa The Hive dan Universiti Selangor.

“Kerajaan Negeri berharap dapat menawarkan kursus pendek, diploma, ijazah dan sarjana yang diiktiraf. Saya berharap kerja keras untuk memulihkan ekonomi akibat pandemik membuahkan hasil melalui inisiatif digital Sidec yang berlaku setakat ini,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2021 (SDEC 2021) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian antara Sidec yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping bersama Presiden CTDK Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

SDEC 2021 berlangsung seiring Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021, mulai 18 hingga 21 November secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk bagi acara itu meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara lain termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor dan Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.

 


Pengarang :