Eksekutif Pemasaran Medicurve Maggie Chan (kiri) memberi penerangan mengenai produk kepada pengunjung pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

SIBS 2021 peluang promosi pelitup muka berkualiti tinggi

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Syarikat pengeluar pelitup muka tempatan, MDCurve International Sdn Bhd mengambil peluang penyertaan dalam Ekspo Selangor Antarabangsa (SIE) (Medik) 2021 sebagai platform mempromosikan produk mereka, Medicurve.

Wakil syarikatnya Mervyn Yee berkata peluang diberikan Kerajaan Negeri menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 membolehkan pelitup muka yang berkualiti tinggi lebih dikenali.

“Keistimewaan produk ini ialah dihasilkan dalam keadaan persekitaran yang bersih dan mendapat pengiktirafan SIRIM.

Wakil syarikat pengeluar pelitup muka tempatan, MDCurve International Sdn Bhd Mervyn Yee. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita menyasarkan selepas penyertaan ekspo ini lebih ramai syarikat korporat, pengedar dan pemborong menyertai syarikat selain menembusi pasaran antarabangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah beliau, Medicurve menawarkan lebih 20 jenis pelitup muka yang dilengkapi dengan tiga dan empat lapis serta K95.

SIE (Medik) 2021 merupakan acara baharu yang diperkenalkan SIBS 2021 yang berlangsung selama empat hari mulai 18 November dianjurkan secara hibrid selain Ekspo Selangor Taman Perindustrian (SPARK) 2021.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.


Pengarang :