Datuk Seri Siti Nurhaliza menunjukkan beberapa produk keluaran syarikatnya pada Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Siti Nurhaliza puji usaha negeri bantu usahawan tempatan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Penyertaan CTDK Holdings dalam Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) sejak 2016 memberi dampak positif kepada jenama itu.

Presidennya Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkata pengalaman berharga itu membantu usahawan memperkenal produk tempatan dan mempamer barangan terbaik.

Penyanyi nombor satu negara itu turut menyifatkan konvensyen berkenaan platform sesuai bagi membawa produk syarikatnya menembusi pasaran antarabangsa.

“Ia memberi banyak perubahan positif dan terima kasih kepada SDEC yang beri peluang serta kemudahan membantu usahawan tempatan,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Siti Nurhaliza berkata antara produk keluaran syarikatnya ialah kosmetik dan produk penjagaan kulit selain pewangi, cecair pembasmi kuman dan tudung Afiya.

“Kita sedang cuba mengembangkan perniagaan dan yakin bantuan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor dapat membawa produk ke luar seperti Ekspo Dubai,” katanya.

Penyanyi yang merangkul lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara itu antara 28 pempamer yang mengambil bahagian dalam SDEC 2021.

SDEC 2021 berlangsung seiring Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021, mulai 18 hingga 21 November secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk bagi acara itu meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara lain termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor dan Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.

 


Pengarang :