e-Sukan antara bidang yang digemari masa kini kerana berpotensi melahirkan bakat baharu dan menjana pendapatan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

e-Sukan negeri tumpu tiga cabang, sasar ke arah global

SHAH ALAM, 8 DIS: Pembangunan e-sukan di Selangor tahun depan menumpukan tiga cabang utama bagi melahirkan lebih ramai penggiat industri bertaraf global.

Teras itu merangkumi pemain, pengulas dan jurulatih bagi melengkapkan ekosistem sukan selain membina kerjaya dengan gaji lumayan, kata presiden Persatuan e-Sukan Selangor.

Menurut Abdul Razak Datuk Dr Mohd Yusof, pihaknya turut berbincang bersama EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bagi mengembangkan industri terbabit.

Abdul Razak Datuk Dr Mohd Yusof

“Pertandingan e-sukan anjuran sentiasa berterusan, namun pembangunan seterusnya belum ada. Selepas pemain menang, ke mana hala tuju ? Mungkin mereka boleh diserap menjadi pengulas atau jurulatih.

“Pemain dan pasukan e-sukan sudah ramai, jadi mereka perlukan jurulatih serta pengulas bagi memastikan industri terus berkembang seperti diinginkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk sebanyak RM1.2 juta bagi meneruskan program e-sukan melalui pembangunan dan penganjuran jelajah ke setiap daerah.

Sementara itu, jurulatih Todak Valorant Nor Aiman Nor Azham menyambut baik komitmen Selangor menyediakan dana, bertepatan dengan hasrat sebagai peneraju dalam industri terbabit.

Bagaimanapun, pemain profesional e-sukan berusia 28 tahun itu mahu peruntukan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu.

Nor Aiman Nor Azham

“Dari dulu lagi saya akan teruja jika mendengar pengumuman berkaitan e-sukan. Jadi, pihak yang menerima dana harus melaksanakan program dengan berkesan,” katanya yang aktif sejak 2016.

Selangor memperkenal program Xtiv Virtual sejak tahun lalu dengan lebih 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Acara dipertandingkan termasuk PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021, FIFA Pro Club, Selangor Xtiv Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge.


Pengarang :