AGENSI SELANGOR

i-Lestari Hijrah bantu 25 usahawan pulih perniagaan pascawabak

SHAH ALAM, 1 DIS: Seramai 25 usahawan menerima Skim Pembiayaan i-Lestari Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) bagi mengembang dan memulihkan perniagaan susulan Covid-19.

Pemangku ketua pegawai eksekutifnya berkata jumlah berkenaan hanya suku daripada sasaran 100 usahawan dengan lebih RM2.3 juta dibelanjakan setakat November.

“Kita menyasarkan 100 usahawan jadi masih ada 75 orang lagi dan kita mengalu-alukan mereka yang ingin mengembangkan perniagaan menghubungi kita,” kata Normaiza Yahya kepada Selangorkini.

Jelasnya, skim diperkenal Oktober lalu menawarkan pembiayaan antara RM51,000 hingga RM100,000 kepada usahawan terlibat dalam semua aktiviti ekonomi.

Individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah.

Pada 27 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan skim i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim bawah Hijrah berkonsepkan islamik.

Skim berkenaan bagi membantu usahawan memulih dan memulakan semula perniagaan terjejas susulan pandemik dengan jumlah pinjaman ditingkatkan dari RM50,000 kepada RM100,000.


Pengarang :