Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari disertai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad (kanan) melancarkan buku tulisan mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (dua, kanan) di Pesta Buku Selangor 2021 pada 4 Disember 2021. Foto RADIN WAZIR.
AGENDANASIONAL

MB lancar novel kedua Dr Maszlee di Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 4 DIS: Dato’ Menteri Besar hari ini melancarkan empat naskhah buku termasuk tulisan mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Pesta Buku Selangor 2021.

Selain buku bertajuk Helang Albania, Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan buku hasil karya Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib (Herba Selangor: Warisan Rahsia Bonda), Dinsman atau Shamsudin Osman (Ketika Aku Berfikir-fikir Akan Kematian) serta Fudzail (Kumpulan Cerpen Fudzail 50!).

Sementara itu Maszlee berkata Helang Albania merupakan novel keduanya yang pernah diterbitkan pada 2016 dengan judul Shqiptar di Champs Elysees.

Jelasnya, novel setebal 432 muka surat itu ditulis ketika beliau berada di United Kingdom dan berkisar tentang kehidupan Islam seorang warga Albaniah pada era 1990-an.

“Ada jalan cerita ini berdasarkan pengalaman rakan-rakan dari negara luar antaranya Perancis, Rusia dan Albania. Jadi saya mahu membawa pembaca melihat keadaan di luar.

“Di pesta ini empat lagi karya saya bakal dilancarkan termasuk komik berjudul #Undi18. Tiga buku lain bertajuk Memori Bukan Memoir, Be Eshme Elohim dan Generasi Yang Hilang,” katanya.

Ahli parlimen Simpang Renggam berkata beliau gembira melihat pesta mendapat sambutan menggalakkan sekali gus membuktikan rakyat masih minat membaca.

“Tahap pembacaan masih tinggi. Harap program ini diadakan lebih kerap supaya dapat merapatkan masyarakat dengan buku,” katanya.


Pengarang :