Selangorkini
Pemain import ketiga Gergasi Merah, Herlison Caion. Foto Facebook The Sports – Malaysia
AGENDA SUKANKINI

Penyerang kelahiran Brazil jadi pemain import ketiga Gergasi Merah

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Selangor FC mengesahkan penyerang kelahiran Brazil Herlison Caion yang beraksi bersama pasukan kelab Thailand Muangkan United, sebagai import ketiga pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Berasal dari Caxias, pemain berusia 31 tahun itu mula menjinakkan diri dalam kancah bola sepak Asia sejak berusia 19 tahun apabila beraksi di Liga Korea bersama Gangwon FC (2009-10) dan kembali bermain di Korea Selatan pada 2018 bersama Daegu FC.

Dalam Liga Thailand, pemain berketinggian 184 sentimeter (cm) menjaringkan 34 gol dan 13 bantuan gol dalam 85 penampilan bersama Navy FC, PT Prachuap FC, Chonburi FC, Suphanburi FC dan Muangkan United dari 2019 hingga 2021.

Ketua jurulatih Selangor FC Michael Feichtenbeiner yakin penyertaan Caion ke kem Gergasi Merah adalah sesuatu yang positif berdasarkan pengalaman dan kebolehan dimiliki pemain itu.

“Saya gembira kami dapat menandatangani dan meyakinkan Caion untuk berpindah dari Thailand ke Malaysia. Beliau telah menjadi pemain yang dikenali dan terbukti kebolehannya dalam bola sepak Thailand sejak 4-5 tahun lepas.

“Dengan gaya bola sepaknya, beliau boleh menyesuaikan diri dengan bola sepak peralihan yang kami mahu mainkan. Kami memerlukan pemain yang boleh menjaringkan gol dan dengan pengalamannya menjaringkan banyak gol di Asia Tenggara, saya mempunyai perasaan yang baik dan keyakinan sepenuhnya kepadanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Caion yang pernah berkhidmat bersama pasukan Denmark, HB Koge pada 2015, berharap dapat bekerjasama demi mencapai rancangan ditetapkan oleh pasukan.

“Mengikut rancangan yang disampaikan kepada saya, kelab ini akan berusaha untuk mencapai kejayaan bersama. Saya percaya musim ini akan menjadi tahun dimana kelab akan mendapat pencapaian yang hebat kerana saya yakin kita mampu mendapatkannya,” katanya.

Caion adalah pemain keenam diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Samuel Somerville, Fazly Mazlan, Zahril Zabri and two Jordanian import players – Yazan Al-Arab and Baha Abdelrahman.

-BERNAMA


Pengarang :