Keadaan semasa kediaman penduduk di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya yang dilanda banjir ketika tinjauan pada 24 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukarelawan banjir selamatkan warga emas dihempap bumbung akibat pokok tumbang

SUBANG JAYA, 25 DIS: Warga emas dihempap bumbung rumah akibat pokok tumbang antara mangsa yang diselamatkan sukarelawan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Selangor dalam kejadian banjir pada malam Sabtu.

Yang dipertuanya berkata tiga sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu mengeluarkan wanita berusia 60-an yang terperangkap di ruang dapur rumah di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Selangor, Dato’ Dr Gavin Voon

Dato’ Dr Gavin Voon memaklumkan warga emas yang tinggal bersendirian sedang memasak dan lambat menyedari limpahan air deras pada paras pinggang dan tidak sempat menyelamatkan diri.

“Sukarelawan kami sedang periksa rumah ke rumah. Sebaik tiba sebuah rumah, mereka terdengar jeritan seseorang meminta bantuan sebelum bertindak masuk.

“Mereka mendapati wanita itu cedera di kaki kiri akibat dihempap zink. Warga emas tersebut segera dikeluarkan dan diserah kepada pasukan keselamatan,” katanya ditemui di Balairaya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Lanchong semalam.

Presiden Worldwide Wellness Club Gilbert Pang pula berkata pihaknya menubuhkan pasukan sukarelawan yang sertai 200 orang bagi membantu mangsa bencana di seluruh negeri.

Beliau menjelaskan mereka dibahagi mengikut kumpulan bagi membuat kerja nyahkuman sejak Ahad lalu di penempatan penduduk terjejas untuk mengelak penularan Covid-19.

“Kita turut sediakan penyapu, minuman dan pelitup muka untuk diagih kepada mangsa yang giat menjalankan pembersihan di kawasan perumahan masing-masing.

“Kami seronok dapat sumbang bakti kepada masyarakat, malah sanggup meninggalkan urusan kerja untuk membantu mangsa terlibat,” katanya.


Pengarang :