AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sungai dicemari bau diesel, Air Selangor terpaksa henti tugas loji rawatan

SHAH ALAM, 16 DIS: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas hari ini susulan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih pagi tadi.

Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Lembaga Urus Air Selangor sedang mengenal pasti punca pencemaran di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai sekitarnya,” kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Syarikat itu turut menyediakan bantuan bekalan alternatif melalui 81 lori tangki air bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna terjejas dan premis kritikal.

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19,” kata syarikat itu.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan aplikasi Air Selangor.

Senarai kawasan terlibat dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

 


Pengarang :