DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin memakai persalinan kebaya Negeri Selangor yang telah ditelepuk emas dengan corak Bunga Tanjong Pecah Sembilan. Foto Facebook Selangor Royal Office
BUDAYARENCANA

Telepuk seni hiasan busana tradisi diraja Selangor

TELEPUK, seni hiasan kain melalui proses menekap corak menggunakan perada emas dan perak lambang kebangsawanan keluarga diraja Selangor.

Menurut buku Kesenian Telepuk Warisan Melayu, seni tekstil berstatus tinggi dan tertua dari masyarakat Yunani dan Mesir purba itu sinonim dengan istana sejak zaman kerajaan Melaka pada abad ke-14.

Karya kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) Intan Salina Idrus itu menyebut telepuk mula bertapak di Selangor ketika pentadbiran Daeng Chelak, ayahanda Sultan Salehuddin (Raja Lumu).

Telepuk digunakan Daeng Chelak ketika berkahwin dengan Tengku Mandak. Pakaian pasangan itu bukti awal penggunaan kain telepuk dalam kalangan orang Bugis.

Ketika pemerintahan Raja Lumu (1766-1782), telepuk ada digunakan berdasarkan artifak sarang telepuk atau cop penuh milik anakanda Baginda, Raja Penuh.

Selain itu, ia dipakai dalam Istiadat Menggelar Orang-Orang Besar. Telepuk juga ada digunakan dalam pemerintahan Sultan Sir Abdul Samad (1857-1898).

Sepersalinan lengkap Baju Sikap bertelepuk iaitu baju berbelah pendek, berpotongan Bugis dan berpola kancing tujuh milik Baginda masih tersimpan di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Baju Sikap hanya dipakai raja, orang besar atau pengantin. Pemakaian tengkolok bertelepuk juga dilihat pada tengkolok Alang milik Baginda.

Dalam pentadbiran Sir Ala’uddin Suleiman Shah (1898-1938), kalangan raja dan orang-orang besar memakai kain bertelepuk dan berbenang emas. Pemakaian telepuk juga berlangsung dalam Istiadat Menggelar Orang-orang Besar di Balairong Bukit Jugra pada 1898.

Baginda turut menjadikan Istana Bandar di Kuala Langat sebagai tempat berkumpulnya tukang-tukang mahir telepuk selain pembuatan songkok dan sulaman lain.

Tengku Ampuan Zabedah pula memiliki kebaya labuh bertelepuk dengan motif bunga setangkai, kini antara koleksi Muzium Seni Asia di Kuala Lumpur.

Kemuncak pemakaian telepuk berlaku dalam pemerintahan Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj (1938-1942 dan 1945-1960).

Baginda dan Permaisuri Tengku Ampuan Jema’ah Raja Ahmad menggiatkan semula seni tersebut.

Bengkel menelepuk dibangunkan dengan pesat, malah Istana Selangor serta kerabat diraja turut menghasilkan sendiri kain telepuk.

Tengku Ampuan Jema’ah turut memiliki koleksi peralatan menelepuk. Alatan itu dan kain destar bertelepuk emas yang dihasilkan Baginda ada di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Koleksi cop telepuk milik Baginda antaranya berbentuk motif, ukiran dan pahatan. Reka bentuk motif yang diukir terdiri daripada pucuk rebung, bunga dan tumbuhan tempatan selain kaligrafi.

Sultan Hisamuddin pula mengenakan persalinan Baju Layang yang dihiasi telepuk bermotif pucuk rebung, bunga dan dedaun ketika pertabalan pada 1939 di Astana Mahkota Puri Klang.

Seni telepuk pada Baju Layang juga dipakai Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah (1942-1945). Ragam hiasnya mempunyai variasi corak telepuk. Dua motif di bahagian kolar bercorak jata negeri, motif berbentuk S, pucuk rebung, geometrik serta kerawang.

Menurut buku Pesaka Selangor terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1966, orang-orang bergelar turut dikurnia sepersalinan baju dan seluar bertelepuk. Selain itu,  persalinan telepuk turut dianugerah kepada pembesar, tetamu atau rakyat yang berjasa.

Penghasilan telepuk bukan mudah. Ia memerlukan proses teliti bagi menghasilkan motif yang kemas. Bermula sapuan gam, ia diikuti kerja menekap cop atau sarang telepuk pada tekstil. Seterusnya kepingan perada emas ditekap pada cop tersebut.

Kepingan itu perlu ditekan perlahan agar emas melekat sebelum digosok hingga menimbulkan corak motif. Seni itu banyak ditampilkan pada baju, kain dan sapu tangan yang terukir corak menarik.

Pada masa ini, Kerajaan Negeri merancang untuk mengadakan bengkel tenunan telepuk selain selendang kelingkan bagi mengembalikan kegemilangan warisan berkenaan.

 


Pengarang :