Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) ketika meninjau proses pembersihan sisa banjir di Taman Sri Muda pada 1 Januari 2022. Foto Facebook Amirudin Shari
BERITA UTAMASELANGOR

Jumlah jentera, lori ditambah percepat proses bersih sampah di Sri Muda

SHAH ALAM, 1 JAN: Jumlah jentera dan lori mengangkut sampah di Taman Sri Muda ditambah bagi mempercepatkan proses pembersihan pascabanjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pembersihan di lokasi itu juga berjalan lancar dan akan ditingkatkan.

“Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan bantuan jentera dan lori daripada sukarelawan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempercepatkan proses pembersihan di Sri Muda.

“Usaha Kerajaan Negeri ketika ini adalah bertumpu kepada proses pembersihan dan pemulihan. Semoga usaha ini memberi manfaat buat rakyat di Taman Sri Muda,” katanya.

Terdahulu, Amirudin meninjau proses pembersihan di Taman Sri Muda dan melawat Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda yang merupakan lokasi beliau bersama 1,000 mangsa banjir terkandas pada minggu lalu.

Lokasi penempatan sementera Pusat Transit Sisa Banjir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Foto Facebook Amirudin Shari

Dalam pada itu, Amirudin turut meninjau pusat transit sisa banjir di Seksyen 35 bagi mempercepatkan proses pembersihan.

“Saya menggesa pihak lain yang terlibat dengan proses pembersihan untuk mengangkut sampah ke pusat pengumpulan ini dan tidak meninggalkannya di tepi jalan mahupun kawasan tertentu.

“Ini bagi memudahkan proses pengumpulan dan memudahkan kerja pihak berkuasa tempatan serta KDEB Waste Management (KDEBWM),” katanya.

Sehingga Khamis, kerja pembersihan bermula 25 Disember di Sri Muda mencapai kira-kira 35 hingga 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :